PETALING JAYA – Pelakon verstail, Nam Ron mendedahkan gara-gara memuat naik foto dirinya tidak memakai baju dalam laman sosial baru-baru ini, dia telah diganggu seorang lelaki yang menyukai golongan sejenis.
Menerusi ciapan yang ditulis dalam Twitter miliknya, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 52, berkata, dia telah menerima mesej (DM) berunsur gangguan seksual daripada seorang lelaki menerusi Instagram.
“Baru dapat gangguan seksual di DM oleh pemilik akaun yang mana profile description (keterangan peribadi) mengatakan ‘I like old man age 40++’ (saya suka lelaki tua berusia lebih 40 tahun).
“Saya yakin semuanya ada kaitan dengan foto separuh bogel saya semalam (kelmarin),” ujarnya.
Ujar pelakon yang juga bergelar pengarah itu lagi, dia terkejut apabila semakan ke atas akaun individu tersebut mendapati terdapat banyak kandungan lucah dalam media sosial lelaki itu.
“Bila saya pergi ke akaunnya, saya dapati banyak gambar lelaki tua tayang ‘anu’ (kemaluan). Melayu pun ada. Tolong jangan minta saya kongsi pautan. Tak sanggup!” kata Nam Ron.
Terdahulu,Nam Rom mengejutkan peminat apabila menayang badan demi meraih sejuta pengikut dalam akaun Instagramnya.
Aktor itu dipercayai memuat naik gambar berkenaan sebagai sindiran sinikal terhadap trend stesen televisyen yang memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut media sosial berbanding bakat lakonan.
Sebelum ini, isu yang sama pernah dibangkitkan oleh rakannya yang juga seorang pelakon berkaliber, Amerul Affendi pada tahun lalu.
Amerul meluahkan kekesalan apabila menyedari stesen televisyen tidak mahu mengambilnya berlakon selagi pengikut media sosial tidak mencecah angka 500,000 orang. – K! ONLINE