JASIN – Seorang pensyarah wanita cedera selepas dipukul bapa tirinya yang juga suami kepada ahli politik bergelar Datuk dalam kejadian pertelingkahan dipercayai membabitkan harta pusaka di sebuah rumah di Merlimau di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam, 25 September lalu itu, mangsa yang berusia 44 tahun cedera di kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dekat sini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian dikatakan berlaku selepas suspek yang berusia 29 tahun tiba-tiba berang ketika mangsa dan ahli keluarganya berbincang mengenai harta peninggalan arwah abangnya.
Menurut beliau, suspek mendakwa, mangsa, ibu saudara dan sepupu wanita itu memfitnahnya sebelum memukul kepala anak tirinya itu dengan menggunakan buku.
“Pada awalnya berlaku kejadian tolak-menolak sebelum suspek memukul kepala mangsa dengan menggunakan buku yang dipegangnya.
“Mangsa cuba menepis dan menolak tangan suspek (bapa tirinya), namun lelaki itu terus memukul kepala mangsa beberapa kali,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mispani memberitahu, ibu mangsa yang juga ahli politik berusia 63 tahun cuba membawa suaminya keluar dengan memberi alasan dia sesak nafas.
“Pasangan itu kemudian keluar menuju ke kereta dan mangsa pula sempat menelefon suaminya memaklumkan dia dipukul.
“Suspek mendakwa dia menghubungi beberapa kenalannya dan tidak takut dengan suami mangsa,” katanya.
Ujar beliau lagi, suspek kemudian memukul kepala mangsa mengguna kunci ketika wanita itu cuba mengambil selipar untuk membaling ke arahnya.
Susulan kejadian itu mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sebelum membuat laporan polis.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat, polis kemudian memberkas suspek pada Rabu lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Suspek dikatakan mendirikan rumah tangga dengan ibu mangsa yang kematian suami pada tahun lalu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.