Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Lawit, Kuala Berang dekat sini hari ini.
Salah seorang daripada mereka, Indon Sulaiman, 61, yang berada di dalam rumah sewaktu kebakaran terselamat selepas sempat keluar menyelamatkan diri.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Amran Ismail berkata, sepasukan angota bomba dengan kekuatan sebuah jentera telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran tersebut pada 5.12 petang.
“Sewaktu jentera bomba tiba, api kebakaran sedang marak membakar rumah berkenaan.
“Pada ketika itu, 70 peratus daripada rumah itu yang seluas 4.65 meter persegi x 5.56 meter persegi telah hangus terbakar,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Amran berkata, pasukan bomba telah menggunakan dua hos untuk memadamkan kebakaran yang dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.10 petang.
Menurut beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian pula sedang ditaksir. – K! ONLINE