BERMULA dengan pemergian Lionel Messi yang meninggalkan Camp Nou untuk menyertai Paris Saint-Germain, ramai yang sudah menjangkakan bahawa Barcelona bakal berdepan cabaran sengit musim ini kerana kehilangan seorang pemain yang dianggap sebagai signature kepada pasukan itu.
Pada usia 34 tahun, Barcelona pada hakikatnya sudah perlu bersedia untuk kehilangan pemain berkenaan yang cukup sinonim dengan kelab itu sejak 17 tahun lalu.
Bagaimanapun, situasi semasa membuktikan bahawa Barcelona sebenarnya belum bersiap sepenuhnya untuk kehilangan Messi yang bukan sahaja mampu menyumbang gol untuk mereka tetapi dia adalah ‘roh’ kepada keseluruhan pasukan itu.
Kehilangan Messi hakikatnya bukanlah penyebab utama keruntuhan reputasi gergasi Sepanyol itu sebaliknya pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun lalu menjadi punca awal yang paling dominan masalah yang dihadapi mereka ketika ini.
Sebelum 2020, Barcelona dianggap antara kelab paling berjaya dan berada dalam kelompok 10 pasukan terkaya dunia, namun kesan daripada Covid-19 menyebabkan mereka kehilangan sejumlah wang yang besar daripada tiket perlawanan, penajaan dan sebagainya.
Kegagalan mengawal perbelanjaan ketika era Josep Maria Bartomeu menjadi presiden kelab itu menjerumuskan Barcelona menjadi pasukan yang dilihat paling bermasalah ketika ini, malah ia juga punca mengapa mereka gagal untuk terus mengekalkan Messi.
Jaon Laporte yang dipilih sebagai supremo baharu terpaksa menanggung ‘reba’ apabila Barcelona dilaporkan mempunyai hutang yang bernilai £1.2 bilion (RM6.76 bilion) setakat ini.
Kembali beberapa tahun kebelakang, bermula musim 2014/15 hingga musim 2019/20 Barcelona dilaporkan telah membelanjakan hampir €954 juta (RM4.63 bilion) untuk mendapatkan pemain-pemain baharu semata-mata untuk Bartomeu memuaskan hatinya supaya mampu meletakkan dirinya sebagai salah seorang presiden kelab yang berjaya.
Bartomeu memenangi pemilihan presiden kelab itu pada 23 Januari 2014 sekali gus muncul sebagai Presiden Barcelona ke-40 dalam sejarah sebelum meletakkan jawatannya pada 27 Oktober tahun lalu ekoran tekanan yang hebat ekoran masalah prestasi pasukan selain bertelagah dengan Messi.
Sepanjang era Bartomeu, Barcelona berjaya merangkul empat kejuaraan La Liga, empat trofi Piala Raja Sepanyol, satu gelaran Liga Juara-Juara, satu tofi Piala Super dan satu kejuaraan Piala Kelab Dunia.
Tewas dua perlawanan ketika menentang Bayern Munich dan Benfica awal pagi Khamis lalu dalam saingan awal Liga Juara-Juara musim ini menjadi sejarah kerana ia merupakan ‘pencapaian’ yang tidak pernah dilakukan oleh Barcelona sepanjang penyertaan mereka dalam kempen ini.
Ia menjadi getir paling kemuncak buat pengendalinya, Ronald Koeman yang menurut jangkaan ramai akan dipecat dalam tempoh terdekat ini.