fbpx

KeTSA, TNB pacu peralihan tenaga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin (tengah) ketika mendengar taklimat oleh Ketua Operasi Sistem Grid, Ir. Shanmugam Thoppalan (kiri) di Bilik Kawalan Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional sambil diperhatikan Baharin (kanan).

PETALING JAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyatakan kesediaan untuk bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menyeimbangkan kehendak industri di samping menyempurnakan amanah kepada rakyat dan negara.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, TNB sebagai jantung negara dalam industri tenaga mempunyai tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada rakyat pada masa yang sama memenuhi keperluan industri.

“Saya akan sentiasa komited untuk memastikan keseimbangan ini dan akan bersama-sama kepimpinan TNB untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menyeimbangkan antara kedua-dua tanggungjawab berkenaan.

“Saya amat berpuas hati dengan penerangan, penjelasan yang disampaikan dan kita boleh menilai betapa besarnya sumbangan industri tenaga ini kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam lawatan kerjanya yang pertama di Ibu Pejabat TNB di Bangsar Selasa lalu.

Dalam lawatan lebih tiga jam itu, beliau turut didedahkan dengan operasi sistem grid dan pemantauan bekalan elektrik 24 jam kepada lebih sembilan juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Komitmen itu tepat pada masanya ketika TNB sedang dalam rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memuktamadkan cadangan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) di bawah pelaksanaan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) pada tahun hadapan.

Tempoh tiga tahun RP3 dijadualkan bermula 1 Januari 2022 berikutan tempoh RP2 dilanjutkan selama setahun sehingga 31 Disember 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Pelaksanaan RP3 dijangka membolehkan TNB mengukuhkan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara termasuk dalam aspek kajian tarif dan pelaburan modal bagi tempoh tiga tahun akan datang sejajar memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, bermula sebagai agensi yang menyediakan keperluan asas iaitu membekalkan tenaga elektrik, TNB berperanan sebagai agensi penggerak kemajuan selain berpotensi menjadi pelopor pembangunan ekonomi baru negara.

“Sepanjang pandemik ini TNB telah membantu kerajaan dengan pemberian diskaun bil elektrik berjumlah RM313 juta untuk tahun 2020 dan 2021 kepada rakyat selain bantuan menerusi pelbagai inisiatif lain seperti program Bakul Prihatin Negara bernilai RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata, TNB berbangga dapat berbakti kepada rakyat dan negara antaranya melalui aktiviti tanggungjawab sosialnya, program pembangunan vendor dan lain-lain mencecah RM21 bilion bagi tempoh Januari 2018 hingga 31 Ogos lalu.

Menurutnya, TNB turut melakukan inisiatif tersendiri bagi membantu golongan yang terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik melalui Tabung Warga TNB Prihatin yang berjaya meraih sumbangan hampir RM3.3 juta yang telah membantu 5,729 penerima setakat ini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI