PUTRAJAYA – Solat Jumaat di Masjid Putra, di sini kembali ‘meriah’ apabila 1,200 jemaah berpeluang menunaikan solat hari ini berbanding 500 jemaah yang ditetapkan sebelum ini.
Kehadiran 1,200 jemaah itu adalah berdasarkan had kapasiti penuh masjid dengan amalan penjarakan 1.5 meter yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beberapa keping gambar memaparkan kehadiran ramai jemaah turut dikongsi Masjid Putra menerusi laman sosial Facebook, hari ini.
Jurucakap masjid ketika dihubungi berkata, jemaah mula tiba di masjid kira-kira jam 11.30 tengah hari apabila pintu masjid di buka.
Menurutnya, ada juga jemaah yang hadir kira-kira jam 1 tengah hari tapi masih dibenarkan masuk kerana masih ada ruang solat yang kosong.
“Alhamdulillah, solat Jumaat hari ini meriah berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, buat masa ini, kapasiti Masjid Putra adalah terhad kepada 1,200 jemaah sahaja rentetan arahan penutupan Dewan Solat Utama dan Dewan Solat Wanita.
Jelasnya, ruang utama solat itu ditutup atas faktor keselamatan kerana kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kubah masjid sedang dijalankan.
“Kerja-kerja baik pulih itu dijadualkan siap Jun tahun depan,” katanya.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam mengumumkan, kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di Wilayah-Wilayah Persekutuan dibenarkan mengikut had kapasiti masjid dan surau dengan penjarakkan 1.5 meter.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sebelum ini, Masjid Putra terpalit isu layanan dua darjat susulan satu rakaman video kononnya pihak masjid membenarkan individu kenamaan masuk menunaikan solat Jumaat sedangkan jemaah lain tidak dibenarkan masuk.
Video itu kemudian tular di pelbagai sosial yang kemudiannya menerima reaksi pelbagai daripada netizen. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929