PUTRAJAYA – Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 55 notifikasi kes keracunan metanol dari tujuh buah negeri dalam tempoh 9 hingga 30 September lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh negeri itu terdiri Selangor dengan 25 kes dilaporkan, Perak (13 kes), Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6 kes), WP Kuala Lumpur (4 kes), Johor dan Negeri Sembilan masing-masing dengan satu kes.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes atau 47 peratus adalah terdiri daripada warganegara Malaysia manakala selebihnya adalah bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.
Beliau berkata, secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian telah dilaporkan menjadikan kadar serangan (Case Fatality Rate: CFR) sebanyak 60 peratus.
“Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara Malaysia manakala 15 kes (45 peratus) adalah bukan warganegara iaitu tujuh warga Myanmar, lima warga India dan tiga warga Nepal.
“Sebanyak tujuh kes telah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes lagi yang masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad,” katanya.
Ujar beliau, keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik.
“Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum.
“Keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah, kerana kebiasaanya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol. Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929