fbpx

Kebajikan pesara ATM terus terbela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arman Rumaizi menyerahkan bakul makanan kepada seorang pesara ATM pada program Mindef Prihatin dan Bantu-Bantu Malaysia di Kem Tun Razak, Bayan Lepas hari ini.

GEORGE TOWN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan kebajikan para pesara tentera akan terus dijaga melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang boleh disalurkan.

Panglima Dua Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan kumpulan pesara bagi melihat bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan.

“Sebenarnya bantuan-bantuan itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan yang dilakukan perwira-perwira negara yang telah berkhidmat menabur bakti kepada negara ini.

“Malah, bantuan itu juga merupakan satu bentuk keunikan dalam ATM yang mana kita menjaga anggota kita sehingga ke liang lahad,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan secara pandu lalu kepada kira-kira 40 pesara ATM Daerah Timur Laut di Kem Tun Razak, Bayan Lepas di sini.

Penerima berkenaan merupakan sebahagian daripada lebih 1,700 pesara ATM di seluruh negeri ini yang akan mendapat manfaat menerusi program Mindef Prihatin dan Bantu-Bantu Malaysia yang diperkenalkan sejak Julai lalu.

Program Mindef Prihatin merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bagi membantu meringankan beban warganya khususnya mereka yang dikategorikan sebagai asnaf serta B40 yang terjejas dari segi pendapatan isi rumah akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, seorang pesara tentera dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) yang juga orang kelainan upaya (OKU), Mohd. Amer Salleh, 71, melahirkan rasa gembira dengan bantuan berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

“Saya sangat bertuah kerana ATM banyak menjaga soal kebajikan termasuk mendapatkan kaki palsu selepas kehilangan kaki kiri saya akibat terjatuh tahun lalu,” katanya yang berkhidmat bersama ATM selama 13 tahun. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI