IPOH – Tindakan tiga individu yang dipercayai membuang sesuatu ke dalam Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar di sini mendapat kecaman warga maya yang menganggap sebagai mencemar kebersihan sungai.
Video berdurasi 44 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Menerusi rakaman tersebut, individu berkenaan termasuk seorang wanita dalam keadaan mencangkung membuang sesuatu seperti cecair dari enam tong plastik berwarna biru.
Tong-tong tersebut kemudian dikumpulkan sebelum kesemua mereka beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.
Perbuatan tersebut dirakam individu tidak dikenali di atas Jambatan Sultan Iskandar dan dipercayai berlaku semalam pada pukul 9.15 pagi.
Walaupun lokasi berkenaan sibuk dengan kenderaan lalu lalang kerana terletak di tengah-tengah bandar Ipoh tetapi ia tidak disedari oleh orang ramai.
Rata-rata netizen menganggap individu berkenaan hanya membuang anak ikan dalam Sungai Kinta berkenaan.
Kata Pineh Sakinah, individu berkenaan hanya membuang benih ikan. “Kita bersangka baik sahaja semoga tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929