KAPTEN pasukan hoki kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd. Jalil memuji semangat juang ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya yang tidak berputus asa mencari gol ketika menentang Hampstead & Westminster HC awal pagi semalam.
Hasilnya, Malaysian Tigers yang menduduki ranking ke-11 dunia, berjaya bangkit mencatat keputusan seri 5-5 dengan bekas juara Liga Hoki England 2018/2019 itu dalam aksi di Pusat Sukan Nasional Bisham Abbey.
“Apa yang saya kami banggakan dalam perlawanan ini adalah semangat melawan kami secara sepasukan. Saya berharap semangat yang ditunjukkan ini dapat dibawa ke perlawanan seterusnya.
“Kami akan terus memperbaiki segala kelemahan yang perlu diatasi segera. Kami juga akan meningkatkan lagi momentum perlawanan untuk mencari kemenangan pertama di sini,” kata Marhan.
Pemain tengah itu merupakan salah seorang daripada lima penjaring gol skuad negara dalam aksi tersebut selain Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Firhan Ashari dan Mohd. Ashran Hamsani.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara masih gagal mencetak kemenangan dalam tiga aksi Siri Jelajah United Kingdom selepas terdahulu seri 2-2 dengan Old Georgians HC sebelum tewas 1-2 kepada Surbiton HC kelmarin.
Begitupun, Malaysian Tigers tidak perlu menekan butang panik kerana ini adalah aksi kompetitif pertama buat barisan pemain yang hanya berlatih secara online hampir empat bulan setengah sebelum ini.
Skuad negara akan meneruskan siri jelajah menentang Beeston HC awal pagi esok sebelum bertemu Ireland (5 dan 6 Oktober), Wales (9 dan 12 Oktober) dan Perancis pada 15 dan 18 Oktober depan. – K! ONLINE