Sejak kecil kita dididik agar sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam hidup.
Namun, semenjak dunia memasuki era globalisasi, nilai-nilai murni tersebut kian terhakis dan masyarakat kini dilihat semakin berani mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi.
Impak daripada komen atau hantaran di media sosial seperti Facebook, YouTube dan Twitter ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia seringkali mengundang kecaman ke atas individu tertentu.
Sejak akhir-akhir ini, isu berkenaan dilihat semakin menjadi-jadi apabila acap kali dilaporkan tentang individu dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia untuk diambil keterangan berhubung provokasi di media sosial.
Di mana silapnya apabila masih terdapat segelintir individu berani berlagak perwira mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi dengan alasan kebebasan bersuara dan niat menegakkan kebenaran tanpa berselindung.
Pakar Isu Sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pengaruh media sosial masa kini dirasakan terlalu hebat sehingga dilihat mempengaruhi pembawakan diri seseorang.
“Dalam dunia tanpa sempadan, kita dapat melihat hak kebebasan bersuara yang diamalkan di negara-negara Barat dan dalam keterujaan itu, sesetengah individu cuba mengimplementasikan kebebasan bersuara secara holistik ke Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan kebebasan bersuara secara holistik memandangkan ia membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, selain bertanggungjawab dengan kenyataan yang dikeluarkan, seseorang itu juga perlu bertanya kepada diri sendiri tentang niat sebenar mereka.
“Tanya diri sendiri dahulu apa tujuan komen itu dikeluarkan sebelum ia dimuat naik ke sosial media dan sekiranya bertujuan memberi kesedaran, teguran itu boleh diberikan secara terus kepada individu atau organisasi berkenaan.
Dalam pada itu, Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada isu yang tidak berkesudahan ini dan salah satunya adalah undang-undang itu sendiri yang dirasakan tidak mampu mengekang individu berkenaan.
“Secara amnya kita boleh katakan bahawa individu yang mengeluarkan penyataan provokasi berunsur perkauman, agama serta kata-kata kebencian ini berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang dianggap seperti satu kebebasan mutlak tanpa sebarang kekangan.
“Undang-undang lebih lengkap secara menyeluruh termasuk penguatkuasaan yang lebih agresif dilihat perlu bagi mengekang serta menjadi peringatan kepada netizen sebelum membuat hantaran di media sosial,” katanya.
Katanya, kempen-kempen kesedaran juga perlu dipromosikan dengan lebih agresif agar ia terkesan di hati dan menjadi kebiasaan kepada netizen untuk menyemak dahulu hantaran yang ingin dibuat sebelum ia dimuat naik.
“Bagaimana kempen berkaitan penyebaran pandemik Covid-19 dilihat begitu berkesan?
“Mungkin teknik hebahan yang sama boleh diguna pakai dalam usaha menjaga keharmonian negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan tradisi yang telah wujud sejak sekian lama,” tegas beliau.