fbpx

Warga emas sedih sebahagian rumah runtuh akibat banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Mariam (kiri) menunjukkan sebahagian rumahnya yang runtuh dalam kejadian banjir kilat di Parit Panjang, malam semalam.

BALING – Seorang wanita warga emas sedih apabila sebahagian rumahnya runtuh dalam kejadian banjir kilat di Parit Panjang di sini semalam.

Kejadian banjir itu berlaku kira-kira pukul 8 malam selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 4.30 petang semalam.

Menurut Siti Mariam Abdul Rahman, 64, dia menumpang rumah saudara selepas rumahnya dinaiki air sehingga paras paha.

“Pada pagi tadi, saya pulang untuk melihat keadaan rumah dan terkejut melihat sebahagian struktur rumah telah runtuh.

“Melihat keadaan itu, saya rasa rumah tersebut tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menceritakan semula kejadian, kata Siti Mariam, dia yang baru selesai menunaikan solat maghrib terkejut apabila mendengar bunyi arus deras di luar rumah.

“Saya menjenguk melalui tingkap rumah dan mendapati air dari anak sungai di seberang jalan terletak kira-kira 130 meter telah melimpah ke atas jalan dan memenuhi halaman rumah.

“Saya terus panggil suami dan anak serta menantu untuk melihat paras air yang semakin naik dan kira-kira setengah jam, air telah masuk ke dalam rumah melepasi paras paha,” ujarnya.

Katanya, dia bersama suami, Saad Junus, 71, dan anak, Mohd. Asri Saad, 29,  serta menantu, Umi Kalsum Ismail, 30, bergegas menyelamatkan barangan di dalam rumah sebelum mendengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

“Kami dapati sebahagian dinding rumah yang dijadikan kedai makan sejak tiga bulan lalu telah runtuh.

“Pada masa itu air dari arah anak sungai sangat laju dan kami meminta pertolongan daripada jiran untuk keluar dari rumah,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI