KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Oktober depan untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.
Terdahulu semasa prosiding, Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel urin itu.
Sementara Izalina dalam hujahannya berkata, prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.
“Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu ubah dapatan Majistret. Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada pukul 2.05 pagi, 5 Januari 2019.
Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.
Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah pada masa itu mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929