KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki meragut beg tangan milik seorang wanita tempatan mengundang padah apabila dia ditahan orang awam selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Sri Gombak awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, suspek berusia 29 tahun gagal melarikan diri selepas terjatuh daripada motosikal selepas terlanggar sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 33 tahun berada di hadapan sebuah gerai sebelum suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC meragut beg tangan wanita terbabit.
“Suspek telah terlanggar sebuah kereta milik orang awam ketika cuba melarikan diri dan dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi, suspek telah berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 29 tahun itu mempunyai 20 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan mempunyai tiga rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek mendapati motosikal tersebut adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Kajang.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok pada pukul 9.30 pagi bagi tujuan permohonan reman dan kes disiasat di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompak,” jelasnya.
“Polis turut mengucapkan ribuan terima kasih terhadap tindakan proaktif orang awam sehingga tertangkapnya suspek tersebut,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929