PETALING JAYA – Sebuah kereta Nissan Almera menyebabkan kemalangan apabila dilihat memandu secara zigzag dan melebihi had laju dipercayai berlaku di Jalan Kuching, Selayang baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video oleh Baka Ini di laman Facebook miliknya, kelihatan sebuah Nissan Almera dipandu secara berbahaya dan telah terbabas dan melanggar kenderaan lain di laluan berkenaan .
Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, pemandu Nissan Almera tersebut memandu secara melulu dan memotong beberapa buah kenderaan yang bergerak mengikut kelajuan sederhana.
Ketika kejadian, kereta Nissan Almera tersebut memotong kenderaan lain melebihi had laju dan secara tiba-tiba kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan.
Susulan perkongsian itu, video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang mengecam tindakan berbahaya pemandu Almera tersebut.
“Budak-budak baru dapat kereta macam itulah jadinya, kalau dah kena langgar tadi tak pasal-pasal nyawa orang lain ‘hilang’,” kata Muhd Ajif.
“Kenapa ada pemandu-pemandu yang apabila bawa kereta tak fikir tentang keselamatan orang lain, kalau dalam kereta itu ada budak kecil macam mana?,” ujar Hafizah Azni.
“Saya pandu Almera, tak pasal-pasal nanti orang kecam kereta saya pula, memalukan betul ada pemilik kereta macam ini,” jelas Hasni Meon.
Harap pengguna jalan raya lain dapat mengambil iktibar supaya sentiasa berhati-hati dan tidak memandu secara melulu, lebih-lebih lagi ketika musim hujan. – K! ONLINE