BARCELONA – Penyerang Barcelona, Luis Suarez menafikan khabar angin mengatakan dia bakal menjadi ‘kambing hitam’ dan dijual oleh pasukan itu dalam jendela perpindahan pemain ketika ini.
Sebaliknya, Suarez, 33, menegaskan, dia sanggup diletakkan sebagai pemain simpanan kerana merasakan dirinya masih lagi mampu memberi sumbangan buat gergasi Sepanyol itu.
“Saya ada terbaca laporan tentang kenyataan presiden (Josep Maria Bartomeu) baru-baru ini tetapi tiada seorang pun dalam skuad ini yang memberitahu bahawa saya akan dijual.
“Jika benar, pihak pengurusan pasukan perlu memberitahu saya sendiri, bukannya kepada para wartawan kerana saya masih mahu terus bersama Barcelona.
“Saya sanggup menjadi pemain simpanan kalau itu yang dimahukan oleh pengendali baharu (Ronald Koeman),” katanya.
Difahamkan, The Catalan mahu membeli penyerang sensasi Inter Milan, Lautaro Martinez selepas mendapat dana daripada penjualan bintang Uruguay itu yang kini menjadi buruan bekas kelabnya, Ajax.
Bagaimanapun, ia dilihat satu kerugian besar buat Barcelona kerana Suarez telah membuktikan dia mampu menjaringkan 21 gol walaupun sering dibelenggu masalah kecederaan musim ini.
Sebagai rekod, Suarez sudah menjaringkan 197 gol daripada 283 penampilan dalam semua kejohanan sejak menyertai Barcelona daripada Liverpool enam tahun lalu. – AGENSI