JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kajian segera di kawasan kerap berlaku banjir di negeri ini untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan bertitah agar laporan daripada kajian itu diserahkan kepada baginda.
“Gangguan terhadap sistem saliran di longkang atau parit antara punca utama berlakunya banjir kilat ketika musim hujan.
“JPS Johor dan PBT dengan segera jalankan kajian dan segerakan laporan kepada saya, agar dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.
“Taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan berlaku banjir kilat seterusnya mengakibatkan kemusnahan harta benda serta memberi kesan kepada penduduk,” titahnya Royal Press Office (RPO), hari ini.
Baginda turut menasihatkan penduduk khususnya yang menetap di kawasan berisiko supaya mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan faktor cuaca tidak menentu. -K! ONLINE