LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho gembira dengan prestasi skuad bimbingannya apabila tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Ipswich Town 3-0 dalam aksi persahabatan malam kelmarin.
Penyerang Spurs, Son Heung-min berjaya menjaringkan dua gol selain satu jaringan daripada Ryan Sessegnon memastikan kemenangan ke atas pasukan dari Liga Divisyen Satu tersebut pada aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu.
“Saya dapat melihat beberapa perkara positif selain tiada pemain yang mengalami kecederaan dalam perlawanan ini. Saya memastikan tiada pemain yang bermain 90 minit penuh permainan bagi mengelak daripada kecederaan berlaku.
“Ipswich membuat persiapan beberapa minggu untuk bertemu kami dengan bermain corak permainan berbeza yang sedikit menyukarkan kami dalam perlawanan ini. Namun, ia sesuatu yang bagus sebelum kami menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Walaupun separuh daripada skuad utama tidak bermain tetapi rata-rata pemain telah menunjukkan permainan yang menarik dan ia sangat positif buat pasukan,” kata Mourinho.
Pengendali berusia 57 tahun itu turut memuji tiga penjaga golnya iaitu Hugo Lloris, Joe Hart dan Paulo Gazzaniga yang dapat menampilkan aksi positif dalam perlawanan tersebut.
“Meskipun tidak diturunkan bermain 90 minit permainan tetapi aksi mereka hari ini (malam kelmarin) cukup baik. Jadi, saya berharap semua pemain akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi aksi seterusnya,” jelasnya.
Spurs akan bermain dua lagi aksi persahabatan bertemu Reading dan Birmingham City minggu depan sebelum memulakan perlawanan pertama EPL menentang Everton pada 12 September ini. – AGENSI