SEBERANG PERAI – Golongan remaja di negeri ini teruja apabila menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka tidak lama lagi.
Tinjauan Kosmo! di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di Kepala Batas di sini hari ini mendapati PPV berkenaan sesak dengan kehadiran pelajar dari beberapa buah sekolah di kawasan sekitar selepas menerima janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi dos pertama.
Rata-rata mereka menyuarakan kegembiraan kerana bukan sahaja boleh kembali ke sekolah dalam suasana lebih selamat, bahkan berpeluang untuk pulang ke kampung halaman tidak lama lagi.
Seorang ibu pelajar tingkatan satu, Syahirah Abdullah, 43, berkata, dia membawa anaknya, Alif Imran Mohmad Latif, 13, untuk mendapatkan vaksin berkenaan kerana kesedaran tinggi mengenai kepentingannya.
“Kami memang mahu segera menerima vaksin untuk kesemua tujuh orang ahli keluarga termasuk tiga kakak Alif yang sudah memasuki universiti.
“Alif adalah yang terakhir dalam keluarga yang menerima vaksin selain adiknya berusia tiga tahun. Ia juga akan membolehkan kami balik kampung di Baling, Kedah dengan lebih selamat tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Alif Imran berkata, dia sememangnya berhasrat mendapatkan vaksin selepas diberi galakan oleh keluarga dan mahu kembali ke sekolah dalam keadaan selamat.
“Tidak sakit pun semasa disuntik dan saya berharap dengan suntikan ini akan mendapat imunisasi lebih baik,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Kepala Batas itu.
Sementara itu, seorang bapa, Aminoor Rashidin Hashim, 40, berkata, dia membawa anak lelaki tunggalnya yang menghidap cerebral palsy, Muhammad Amirul Hakimi, 14, bagi mendapatkan vaksin di PPV berkenaan selepas menerima notifikasi janji temu semalam.
“Nak ke mana-mana selepas ini pun sudah tidak terlalu risau dan nak pergi ke rumah tok (nenek) dia pun lebih selamat,” katanya bapa pelajar SMK kepala Batas itu.
Seramai kira-kira 43,000 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun dan 93,000 pelajar berusia 12 hingga 15 tahun di negeri ini dijangka menerima vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula 22 September lalu. – K! ONLINE