PETALING JAYA – Gara-gara berkongsi kisah pesakitnya yang menghidapi HIV di laman TikTok, seorang penolong pegawai perubatan menerima kecaman orang ramai sehingga memaksa dia menutup akaun TikTok.
Terdahulu, tular sebuah video penolong pegawai perubatan dikenali sebagai Mohd. Izham, didakwa berkongsi tentang seorang pesakit yang telah positif HIV disebabkan melakukan seks bebas dengan ramai wanita.
Menerusi perkongsian video oleh @ardnie di Twitter, dia menyarankan supaya orang ramai yang hendak membuat ujian HIV mengelakkan untuk berjumpa seperti pegawai berkenaan.
“Dia ini penolong pegawai perubatan, kalau ada sesiapa nak buat test HIV atau STD, elakkan berjumpa orang macam ini. Makin stress nanti, tak perlu nak terus jatuhkan hukuman walau jelas apa yangg pesakit dia buat itu, salah,” katanya.
Ciapan yang dibuat oleh @ardnie itu telah menarik perhatian Majlis AIDS Malaysia yang turut menyelar tindakan Mohd.Izham kerana menyebarkan maklumat tidak tepat dan menambahkan diskriminasi terhadap individu penghidap HIV.
“Pekerja Kesihatan seharusnya memberikan rawatan tanpa sebarang stigma dan diskriminasi di fasiliti kesihatan. Majlis AIDS Malaysia berharap semua yang bekerja dalam bidang kesihatan memastikan maklumat dan cara penyampaian berkenaan HIV dilakukan dengan betul.
“Harus memastikan maklumat dan cara penyampaian berkenaan HIV dilakukan dengan betul dan selari dengan wawasan KKM dan Pelan Strategik Nasional ‘Ending AIDS 2030’ Malaysia untuk mengakhiri stigma dan diskriminasi terhadap HIV,” katanya semalam.
Susulan daripada perkongsian itu, orang ramai telah mempersoal tindakan pegawai perubatan berkenaan yang bertindak menceritakan masalah kesihatan pesakit kepada umum.
“Cara penyampaian tak kena, dia nak nasihat orang tapi dalam masa yang sama dia tunjuk orang yang bila dapat HIV macam dah tak ada pintu taubat,” jelas @Haziqque.
“Apa maksud dia dengan tuhan buat HIV tak ada penyembuh? Setahu saya ada dua orang bekas HIV yang dah selamat dari HIV. Dua-dua dari operation,” ujar @Askfar.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan kisah seorang penolong pegawai perubatan berkongsi kisah pemuda amal seks bebas pengsan setelah tahu dijangkiti HIV. – K! ONLINE.