LONDON – Seorang wanita menyangka makhluk asing telah mendarat di Bumi selepas dia berjaya merakam sekeping gambar yang pada awalnya difikirkan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Bagaimanapun, jangkaannya itu meleset sama sekali apabila mendapati objek yang dirakam itu sebenarnya merupakan sebuah roket milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Jayne Dickinson, 47, mengembara ke Istana Bamburgh di Northumberland untuk merakam gambar aurora atau cahaya polar apabila dia terlihat kelibat sebuah ‘pesawat’ yang mempunyai bentuk aneh.
Berdasarkan foto-foto yang dirakam, ‘pesawat’ tersebut sedang terbang di langit pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) Isnin lalu.
“Saya sedang mencari cahaya aurora namun tidak kelihatan. Ketika sedang berjalan ke arah kereta, saya tiba-tiba ternampak satu objek bercahaya terang di atas langit.
“Ia kelihatan menakjubkan dan saya terus mencapai kamera lalu merakam gambarnya. Saya fikirkan bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi.
“Sejurus saya pulang ke rumah, saya memeriksa apakah objek tersebut dan menyedari bahawa ia sebenarya adalah satelit NASA Landsat-9 yang dilancarkan di California, Amerika Syarikat,” katanya. -AGENSI