fbpx

Boleh balik kampung jika kes ICU turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kadar kema­sukan ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di bawah 50 peratus perlu dijadikan sebagai salah satu indikator sebelum aktiviti merentas negeri dibenarkan.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, kadar kemasukan ke hospital dan penggunaan katil ICU ketika ini masing-masing merekodkan 69.4 peratus dan 69.2 peratus.

“Kerajaan meletakkan 90 peratus populasi dewasa sebagai sasaran membenarkan rentas negeri. Saya rasa tidak mustahil untuk kita mencapai sasaran tersebut (dalam tempoh dua minggu lagi).

“Bagaimanapun, saya berpendapat sasaran 90 peratus populasi dewasa tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu-satunya indikator untuk membenarkan rentas negeri.

“Pertama kerana kita perlu berhati-hati dengan kemungkinan kemunculan varian baharu dan kedua kerana golongan be­risiko tinggi, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan vaksinasi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun baru bermula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan selepas kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

Dalam pada itu, Yahya bersetuju kes Covid-19 semakin menurun adalah hasil keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi yang mewujudkan perlin­dungan imuniti.

Menurut beliau, keadaan itu dapat dilihat dengan pengurangan kes jangkitan melibatkan semua kategori dan juga jumlah kes kematian sebenar.

“Lebih tinggi liputan vaksinasi, lebih baik perlindungan imuniti diterjemahkan. Perlindungan imuniti ini akan terbentuk secara perlahan-lahan dan akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi Institut Sains Bio­logi Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Dr. Jasmine Elanie Khairat turut berpandangan penurunan kes jangkitan Covid-19 hasil kombinasi program vaksinasi dan intervensi bukan farmakologi yang berterusan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kuarantin dan isolasi.

Menurut beliau, selepas program vaksinasi menunjukkan ke­jayaan, kini menjadi tanggungjawab orang ramai untuk mematuhi SOP terutama apabila ren­tas negeri mungkin dibenarkan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kesihatan & Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi menasihati orang ramai supaya terus mengambil serius tentang kepen­tingan SOP selepas rentas negeri dibenarkan.

Menurut beliau, kes jangkitan yang semakin menurun dan kelonggaran akan diberikan untuk merentas negeri tidak bermakna kadar jangkitan tidak boleh me­ningkat semula.

“Ini kita pernah saksikan berlaku di negara lain termasuk Singapura apabila jangkitan di negara itu meningkat semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI