fbpx

Tumor seberat 54 kg dalam ovari wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR keadaan seorang pesakit wanita yang mempunyai tumor seberat 54 kg di dalam ovarinya di New Delhi, India. – MIRROR UK

NEW DELHI – Sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini berjaya mengeluarkan tumor yang didakwa paling besar di dunia daripada ovari seorang pesakit berumur 52 tahun di India, lapor portal berita Anadolu Agency.

Tumor gergasi itu dilaporkan seberat 54 kilogram (kg) dan dikeluarkan daripada pesakit wanita yang hanya dikenali sebagai Nirmala di Hospital Indraprastha Apollo kelmarin.

Pakar bedah terpaksa melakukan pembedahan yang berlangsung selama 3 jam 30 minit ke atas pesakit itu selepas dia menunjukkan tanda-tanda kesukaran bernafas selain mengadu kesakitan teruk pada bahagian abdomen.

“Kami menemui satu tumor di dalam ovari yang memberi tekanan pada usus dan menyebabkan ketidakhadaman serta sakit perut melampau,” kata Dr. Arun Prasad, seorang Konsultan Kanan Pembedahan Gastroenterologi dan Bariatric.

Sebelum dibedah, berat badan Nirmala dilaporkan naik mendadak sepanjang tempoh beberapa bulan lalu hingga mencecah seberat 106 kg. Sejak itu, dia susah berjalan, bernafas dan mengalami sakit perut melampau.

“Ini ialah ketumbuhan paling besar yang pernah saya lihat sepanjang 30 tahun bergelar pakar bedah,” kata Arun.

Pakar bedah, Dr. Abhishek Tiwari berkata, Nirmala amat beruntung kerana ketumbuhan itu tidak menjejaskan sebarang fungsi pada organ dalaman badannya.

Selepas dibedah, berat badan Nirmala kembali menurun kepada 56 kg. Dia kini berada dalam keadaan stabil. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI