PARIS – Meskipun menampilkan aksi lebih baik, namun Manchester City terpaksa pulang hampa apabila tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Parc des Princes awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, PSG berjaya menjaringkan gol menerusi pemain tengah, Idrissa Gueye serta penyerang, Lionel Messi yang meledak gol sulung bersama pasukan itu.
Pengurus The Citizens, Pep Guardiola percaya skuad kendaliannya bermain lebih baik berbanding skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu, namun kurang agresif jika dibandingkan dengan PSG.
“Secara keseluruhan, kami menampilkan aksi lebih baik berbanding mereka. Permainan yang kami tampilkan sama seperti ketika kami menang ke atas Chelsea di Stamford Bridge sebelum ini.
“Mungkin kami kurang agresif sepanjang perlawanan tetapi City adalah pasukan lebih baik hari ini (semalam). Saya tidak lihat statistik tetapi saya yakin kami cipta lebih banyak peluang,” kata bekas jurulatih Barcelona itu.
Beliau juga tidak menyalahkan barisan pemainnya kerana tidak dapat merantai pergerakan Messi sepanjang permainan biarpun pemain antarabangsa Argentina itu baharu sahaja pulih daripada kecederaan.
“Semua orang tahu amat mustahil untuk merantai pergerakannya sepanjang 90 minit permainan. Mungkin dia baru pulih daripada kecederaan tetapi apabila bola berada di kakinya, dia sukar untuk dihalang,” ujar Guardiola. – AGENSI