PARIS – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi menarik nafas lega apabila meledak gol sulung bersama pasukan itu selepas menewaskan Manchester City 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes awal pagi semalam.
Sebelum ini, kemampuan pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu dipersoalkan kerana terus buntu untuk menjaringkan gol, namun jaringannya ke atas City mungkin akan menjadi pencetus kebangkitannya selepas ini.
Menerusi gol yang dijaringkan, Messi kini menyamai rekod penyerang Real Madrid, Karim Benzema apabila berjaya menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara 17 musim berturut-turut.
“Satu malam yang cukup sempurna menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah. Bagi kami, kemenangan ini sangat penting untuk pasukan selepas sekadar seri 1-1 bertemu Brugge sebelum ini.
“Sudah tentu saya sangat gembira untuk jaringkan gol pertama bersama pasukan ini kerana tidak banyak bermain dalam perlawanan terdahulu. Saya sudah semakin menyesuaikan diri bersama PSG,” kata legenda Barcelona itu.
Messi juga menegaskan, hubungannya dengan rakan sepasukan berada dalam keadaan baik dan mereka masih menyesuaikan diri antara satu sama lain bagi menghasilkan aksi sempurna.
“Persefahaman kami semakin baik dari satu aksi ke satu aksi yang lain. Kami perlu teruskan rentak permainan seperti ini, lebih-lebih lagi sudah tewaskan finalis Liga Juara-Juara musim lalu,” ujarnya. – AGENSI