MANILA – Bintang tinju dunia dari Filipina, Manny Pacquiao mengakui, terpaksa membuat keputusan paling sukar dalam hidupnya apabila mengumumkan persaraan secara rasmi daripada sukan berkenaan.
Pacquiao, 42, tidak menyesal dengan keputusan itu selepas beliau dilaporkan mahu memberikan fokus kepada karier politik apabila bercadang bertanding merebut jawatan Presiden Filipina pada pilihan raya negaranya tahun depan.
“Hari ini saya mengumumkan persaraan saya. Sukar untuk terima hakikat bahawa masa saya sebagai petinju sudah berakhir.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih terhadap sokongan daripada semua peminat sukan tinju di seluruh dunia terutama daripada penduduk Filipina.
“Ia keputusan yang sukar untuk dibuat tetapi saya perlu melakukannya. Kejar impian anda, bekerja keras dan lihat apa yang akan berlaku. Selamat tinggal tinju,” katanya.
Juara dunia itu sudah beberapa kali memberi bayangan untuk bersara sebelum menetapkan keputusan beberapa minggu lalu selepas tewas aksi profesional terakhirnya bertemu petinju Cuba, Yordenis Ugas di Las Vegas.
Pacquiao membuat debut tinju profesional pada usia 16 tahun dalam kategori flyweight remaja pada 1995, telah memenangi pelbagai gelaran sehingga muncul salah seorang atlet sukan terkaya di dunia.
Sebagai rekod, Pacquiao yang sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak, mula menyertai politik pada 2010 sebagai anggota kongres Filipina sebelum dipilih menjadi anggota dewan negara berkenaan. – AGENSI