PETALING JAYA – Sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, orang ramai mulai mengeluh apabila mereka terpaksa membeli barang keperluan dengan harga yang serba-serbi mahal.
Jika dulu dengan RM50 agak banyak juga barang boleh beli. Kiranya cukuplah ayam tiga ekor untuk lebih seminggu makan.
Rata-rata pengguna mendakwa, nilai belian dengan wang sebanyak RM50 di kedai runcit kini terlalu kecil kerana jumlah barang yang boleh dibeli dengan nilai itu terlalu sedikit.
Jika ke kedai runcit, hanya dapat tiga jenis barang basah sahaja dan bertahan tiga hari sahaja.
Di Shah Alam, Selangor, seorang kerani swasta, Noorliana Ali, 36, berkata, secara puratanya dia memperuntukkan perbelanjaan pembelian barangan keperluan dianggarkan RM800 sebulan.
“Kalau setakat RM50 seperti ‘air’ mengalirnya dengan kehidupan di kawasan Lembah Klang. Biasanya dengan jumlah itu keperluan barangan adalah dalam tempoh dua hingga tiga hari sahaja,” ujarnya.
Sementara di Ipoh, Perak, seorang juruteknik kilang, Mohamad Afandi Abdullah, 43, berkata, dia biasanya membelanjakan RM50 hanya untuk membeli dua jenis ikan dan udang di pasar bagi keperluan seminggu keluarganya dengan tiga anak berusia antara lima hingga 14 tahun.
“Harga sekilogram ikan kembung RM10, ikan cencaru (RM13) dan setengah kilogram udang sederhana (RM24). Dengan pembelian banyak ini bolehlah bertahan untuk seminggu,” ujarnya.
Seorang pengguna di George Town, Pulau Pinang berkata, Hasrita Nordin, 39, berkata, dia terpaksa menukar trend pembelian barang keperluan masakan secara harian ketika ini berikutan kos perbelanjaanya sahaja sudah menelan belanja kira-kira RM50 sehari.
“Bayangkan, setiap hari saya perlu membelanjakan RM50 dengan hanya sekurang-kurangnya tiga pembelian barang keperluan masakan seperti daging ayam yang siap dipotong, ikan dan sayur-sayuran.
“Memang terasa sungguh. Nilai RM50 sudah sama nilai dengan syiling 50 sen. Mungkin pengguna seperti saya memang terkesan dengan pandemik ini,” jelasnya.
Seorang suri rumah di Alor Setar, Kedah pula, Nur Azimah Osman, 38, berkata, dia perlu membelanjakan RM150 untuk membeli bekalan makanan yang hanya bertahan kurang dua minggu.
“Sekurang-kurangnya RM30 hingga RM40 sehari atau lebih RM900 sebulan bagi beli keperluan asas semua naik harga itulah realiti masa sekarang,” jelasnya.
Di Johor Bahru, Johor, Siti Noor Asiah Muda, 32, berkata, seminggu dia terpaksa membelanjakan RM150 untuk membeli barang keperluan dapur.
“Itu belanja kurang seminggu, sebulan kami sekeluarga berbelanja hampir RM1,500 termasuk duit minyak dan beli makanan dari luar,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar di Pandan di sini semalam.