PETALING JAYA – Selepas tiga tahun beroperasi dalam talian, jenama popular tempatan Absolut Chocolat kini mengorak langkah mempunyai cawangan stor fizikal pertamanya di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Kios berkenaan sekali gus menjadi bukti kelangsungan jenama yang dimiliki anak tempatan berbangsa Melayu bersaing secara sihat dan berdiri sebaris dengan jenama besar lain di pasar raya terkemuka negara.
Jenama berdaftar di bawah Absolut Brands Sdn. Bhd. sejak 18 Februari 2018 itu diusahakan pasangan selebriti suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab.
Ben selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan berkata, tujuan utama memasuki pasaran offline dengan menyasarkan kesemua pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang itu sebagai strategi keluar dari zon selesa.
“Ini kerana sektor offline terutama di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor ini sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju kehadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan.
“Walaupun laluan itu tidak mudah bagi sebuah jenama yang dikirakan baru untuk pasaran offline seperti kami, saya optimis. Usaha ini juga sebagai langkah permulaan bagi kami untuk membawa nama Absolut Chocolat tidak hanya di Malaysia, bahkan di serata dunia kelak,” katanya.
Tambah Ben atau nama sebenarnya Nur Ali Nadzwan, jenama yang baru menerima pengiktirafan oleh Superbrand International dengan menjadi salah satu jenama yang membawa gelaran Superbrand di Malaysia itu juga cuba melawan arus.
“Antara sebab lain kenapa kami melebarkan cabang peniagaan ke sektor luar talian ini selepas melihat kesan pandemik Covid-19 yang menggegar dunia khususnya kepada peniaga offline yang paling terkesan dan terpaksa menutup kedai selama berbulan bulan kerana terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa.
“Di saat banyak perniagaan offline mahu bertukar ke online, kami pula mengambil langkah sebaliknya. Usaha itu juga sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku pada dunia dalam talian.
“Sekurang kurangnya kami mempunyai sandaran perniagaan offline juga. Siapa pun tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dunia perlu menutup operasi ekonomi secara menyeluruh,” ujarnya.
Ujar Ben, usaha menembusi pasaran luar talian dengan memilih lokasi pertama pusat beli belah itu turut didorongi pelbagai faktor.
“Salah satunya kerana pusat beli belah itu memiliki faktor demografik yang lebih seimbang. Selama ini 85 peratus daripada pelanggan kami di kalangan orang berbangsa Melayu. Namun kami percaya bahawa perniagaan berasaskan Food and Beverage (F&B) ini untuk semua kaum.
“Jadi kami memilih pusat belah itu juga kerana 50 peratus pengunjungnya dalam kalangan kaum Cina,” katanya.
Sementara itu, Nadiyah selaku Ketua Pengarah Eksekutif pula berkata, empat lagi kios fizikal di pusat beli lain sedang dirancang kemasukannya dalam tahun ini.
“Apabila mula memasuki Mid Valley, kami mula mendapat pelawaan daripada beberapa pusat beli belah utama lain.
“Seiring dengan apa yang dirancang, kami akan membuka empat lagi cawangan kios di Pavilion KL, Sunway Pyramid, IOI Mall Putrajaya dan Sunway Velocity bermula dari Oktober sehingga Disember 2021.
“Kami turut menyasarkan untuk membuka lima cawangan lagi di Lembah Klang sebelum April tahun depan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 cawangan bagi suku pertama 2022,” katanya. – K! ONLINE