KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat percanggahan keterangan antara dua pakar perubatan berhubung kematian Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Peguam Amer Hamzah Arshad ketika berhujah mengatakan, bukti pendakwaan penyebab kematian si mati hanya berdasarkan kesaksian ahli patologi Dr.Salmah Arshad (saksi pendakwaan keenam) yang mana kematian disebabkan oleh luka bakar yang teruk.
“Namun, saksi pembelaan ke-19, Dr. Rohayu Shahar Adnan sebaliknya menyatakan bahawa tiada kesinambungan antara kecederaan melecur yang dialami Zulfarhan dengan punca kematian yang ditimbulkan oleh Dr. Salmah,” kata peguam itu.
Amer Hamzah mewakili tertuduh pertama dan kedua iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi.
Sementara itu, peguam Datuk Seri M. Ramachelvam yang mewakili tertuduh keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat pula berhujah bahawa tiada keterangan “pre- planning” (praperancangan) atau “pre-concert arrangement” (prasusunan konkrit) antara anak guamnya dengan tertuduh-tertuduh untuk mencederakan Zulfarhan.
“Maka isu sama ada perbuatan tertuduh (anak guam) merupakan “infurtherence of commonintention” (niat bersama) atau “infurtherance of different intention” (niat berbeza) adalah isu utama yang harus diteliti dalam menentukan sama ada wujud niat bersama,” kata peguam itu.
Prosiding pendengaran hujahan di akhir kes pembelaan 18 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.
Pada 8 April lalu, Kosmo! melaporkan selepas tiga tahun berlangsung, perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan akhirnya selesai selepas kes itu ditutup Mahkamah Tinggi di sini.
Ini selepas pihak pembelaan memanggil kesemua saksi bagi memberi keterangan termasuk saksi pendakwaan terakhir yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohamad Azaini Ibrahim.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018, pihak pendakwaan memanggil seramai 31 saksi antaranya saksi pendakwaan keenam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad.
Bagi perbicaraan bela diri yang bermula pada 2 Oktober 2019, pihak pembelaan memanggil seramai 20 saksi termasuk pakar perunding forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan.- K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929