KOTA BHARU – Dianggarkan lebih 27,000 individu dewasa di negeri ini didapati enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 atas alasan faktor kesihatan dan khuatir akan terpengaruh agenda Yahudi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,000 individu didapati tergolong dalam golongan antivaksin manakala selebihnya mempunyai masalah kesihatan.
Menurutnya, golongan antivaksin itu juga memberi alasan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas mendakwa tindakan itu merupakan agenda Yahudi dan berbahaya.
“Data mengenai golongan antivaksin ini diperoleh daripada ketua jajahan dan pemimpin setempat sejak sebulan lalu. Kita tidak boleh berbuat apa-apa dengan golongan ini kerana suntikan vaksin tidak boleh diberikan secara paksa.
“Saya menyeru individu yang belum divaksin agar berubah fikiran untuk menerima suntikan vaksin. Ini kerana, statistik menunjukkan bahawa vaksin berkesan untuk mencegah sebarang komplikasi dan kematian akibat Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Izani, setakat ini, 94 peratus iaitu 1.05 juta golongan dewasa di Kelantan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ujarnya, berdasarkan data yang diperoleh, lebih 65,000 individu dewasa yang belum divaksin di negeri ini. – K! ONLINE