IPOH – Sebanyak 47 kluster aktif jangkitan Covid-19 direkodkan di negeri Perak sepanjang seminggu lalu dengan jumlah kumulatif kes berjumlah 4,881.
Bagaimana pun, hanya lapan kluster masih merekodkan jangkitan baharu harian sehingga semalam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 85 kes.
Jabatan Kesihatan negeri Perak pada paparan dalam laman Facebook menunjukkan, lapan kluster tersebut adalah Jalan Jambu Ipoh yang merupakan kluster baharu diikuti Jalan Hala Jati Tujuh, Industri Batu Dua Gerik dan Ulu Rengat.
Menurut paparan itu, kluster aktif lain adalah Batu 8 Tanjung, Rapat 2, Industri Jalan Bercham dan Taman Desa Permata.
“Daripada senarai ini, kluster aktif dengan kes kumulatif paling tinggi adalah Industri Jalan Bercham iaitu 365 kes dengan satu jangkitan baharu, Batu 8 Tanjung (161 kes, 41 baharu) dan Rapat 2 (103 kes, dua baharu).
“Bagi kluster aktif tetapi tidak merekodkan kes baharu pula, jumlah kumulatif tertinggi adalah kluster Tembok Tapah 2 dengan 561 kes, kluster Industri Kinta Rahman (418) dan Jalan Tepi Sungai Melintang (269),” ujar kenyataan tersebut.
Daerah Kinta masih mendahului dengan kes jangkitan Covid-19 paling banyak di Perak iaitu 232 kes yang kesemuanya adalah kes tempatan melibatkan kontak rapat, bergejala tempat kerja dan tahanan.
Seterusnya daerah Manjung dengan 108 kes diikuti Kerian (76) dan Larut Matang Selama (51).
Sehingga semalam, Perak merekodkan 678 kes baharu termasuk 16 kes import, 10 kematian manakala jumlah dirawat seramai 12,068 dengan 85 pesakit di wad unit rawatan rapi. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929