PETALING JAYA – Kerajaan prihatin berhubung kadar kebergantungan negara terhadap import makanan yang kini melebihi RM51 bilion.
Timbalan Menteri ll Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kadar import negara berkurangan tahun demi tahun.
“Antaranya kerajaan sedaya upaya meningkatkan pengeluaran beras negara dengan pendekatan program Smart Sawah Berskala Besar melalui pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan dan sebagainya.
“Kita berjaya meningkatkan hasil padi 3.5 tan metrik per hektar kepada 7 tan per hektar. Insya-Allah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan memberi fokus kepada perkara ini,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berhubung tindakan kerajaan untuk mengatasi kekurangan bekalan makanan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada import makanan melebihi RM51 bilion.
Dalam pada itu, Muhammad Zawawi berkata, kerajaan telah menubuhkan lembaga ruminan negara bagi memastikan bekalan daging seperti lembu, kerbau dan kambing mencukupi di dalam negara.
Katanya, kerajaan turut memperkukuhkan dasar menambah baik infrastruktur kemudahan dan fasiliti di kawasan pengeluaran makanan seperti jelapang padi, taman kekal pengeluaran makanan di samping kompleks atau jeti-jeti perikanan.
“Selain itu, Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan serta Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan Agrobank masing-masing memperuntukkan RM150 juta dan RM60 juta.
“Program tersebut menawarkan dana pembiayaan untuk perolehan vessel moden dan peralatan berasaskan revolusi industri 4.0 dan mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan koperasi dan inovasi pengkomersialan.
“Ia juga menyumbang kepada penghasilan varieti benih berhasil tinggi, mempunyai daya rintangan penyakit dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut menggalakkan penyertaan golongan belia dalam pertanian dan agromakanan dengan menyediakan kemudahan kepada 7,571 orang usahawan agro muda seluruh negara setakat ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929