PETALING JAYA – Datuk Ahmad Marzuk Shaary tampil memberi penjelasan bahawa dia tidak berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dirakam memotong barisan di garisan berkembar baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal Ehwal Agama) itu memberi penjelasan itu selepas diminta oleh orang ramai yang memberi komen kepada hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya semalam.
Ahmad Marzuk sempat berkongsi laporan siasatan polis ketika membalas komen netizen yang mengatakan beliau tidak berada di dalam Toyota Alphard dalam kejadian di Jalan Bukit Marak-Binjai, Kota Bharu tersebut.
“Ketika kejadian, hanya pemandu berusia 31 tahun yang berada di dalam MPV itu.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 5.20 petang 26 September lalu berdekatan Jambatan Cabang 3 Gong Dermin. Semasa kejadian, pemandu itu dari arah Bukit Marak ke Binjai telah memotong kenderaan di hadapannya sambil menyalakan double signal kerana jalan sesak ketika itu.
“Semasa kejadian, pemandu itu bersendirian dari rumahnya hendak ke rumah Ahmad Marzuk di Pengkalan Chepa untuk dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” kata laporan itu.
Tambah laporan itu, pemandu berkenaan memotong di garisan berkembar kerana ingin cepat sampai di rumah Ahmad Marzuk kerana beliau perlu terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 5.50 petang.
Menurut laporan itu, selepas menghantar Ahmad Marzuk ke LTSIP, dia terus memandu ke Kuala Lumpur.
“Pemandu itu masih berada di Kuala Lumpur dan telah dihubungi untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929