CYBERJAYA – Rangkaian 4G akan terus dimantapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, dengan langkah tersebut, secara tidak langsung dapat mempercepatkan pelancaran 5G pada penghujung tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada rancangan asal untuk menyokong penghantaran data pantas.
Menurut MCMC, pihaknya bersama agensi kerajaan akan meneruskan usaha mewujudkan ekosistem terhadap usaha pusat data yang menawarkan kepakaran khusus dan perkhidmatan pengkomputeran awan berteknologi tinggi bagi memenuhi pemintaan para pengguna.
“Selain itu, 12 Internet Exchange Point (IXP) yang sedia ada akan ditambah kepada 66 pada tahun 2025.
“IXP memastikan pertukaran trafik Internet antara penyedia perkhidmatan lancar dan rangkaian penghantaran kandungan menjadi lebih pantas, mengurangkan keperluan transit huluan data, lantas mengurangkan kos hantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC berkata, untuk mengukuhkan ekonomi digital setempat bagi semua lapisan rakyat, terutamanya untuk golongan B40, 873 Pusat Internet Komuniti kini ditransformasi menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).
“Bilangan ini akan ditingkatkan dengan sasaran 1 PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri. PEDi berperanan memperkasakan aktiviti ekonomi digital dengan membangunkan kemahiran penggunaan Internet serta meningkatkan penglibatan e-dagang,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929