MANCHESTER – Manchester United mengharapkan sentuhan Cristiano Ronaldo untuk menamatkan badi kekalahan menjelang aksi Liga Juara-Juara saingan Kumpulan F menentang kelab Sepanyol, Villareal di Old Trafford awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Red Devils yang dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini merekodkan dua kekalahan berturut-turut pada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini.
Pemain tengah United, Nemanja Matic percaya Ronaldo mempunyai karisma dan bakat luar biasa untuk membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan sekali gus menjadi sandaran utama pasukan untuk mengutip tiga mata berharga.
“Kita tahu Ronaldo sememangnya memiliki kualiti dan mentaliti untuk membantu pasukan kembali melakar kemenangan sekali gus melupakan kekecewaan apabila tewas pada dua perlawanan lepas kerana dia antara pemain terbaik sepanjang zaman.
“Sudah tentu dia menjadi sandaran utama khususnya apabila jentera serangan pasukan tidak begitu ampuh sejak beberapa perlawanan lepas. Bagaimanapun, tidak wajar untuk rakan-rakan sepasukan terlalu bergantung harap kepada Ronaldo kerana semua perlu memberikan komitmen yang sama.
“Apa yang pasti, Solskjaer memiliki percaturan tersendiri dalam memastikan tiga mata dapat diraih kerana kita tidak memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan cemerlang selepas tewas pada aksi pembukaan sebelum ini,” katanya.
United sememangnya terdesak untuk memburu tiga mata berharga selepas tewas mengejut 1-2 kepada kelab kurang ternama dari Switzerland, Young Boys pada aksi pertama peringkat Kumpulan F awal bulan ini. – AGENSI