PETALING JAYA – Datuk Ahmad Marzuk Shaary memberitahu, dia mengambil tanggungjawab di atas teguran beberapa pihak berhubung tindakan pemandunya yang didakwa memotong barisan di laluan garisan berkembar seperti yang tular baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut berterima kasih kepada yang merakam dan menegur kesalahan tersebut sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial.
Katanya, sebagai insan yang tidak sempurna, dia mengambil tanggungjawab atas teguran dan menjadikannya sebagai penambahbaikan buat diri dan kakitangannya.
“Staf saya telah dipanggil memberi keterangan kepada polis dan saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
“Sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam memotong kenderaan lain di garisan berkembar.
Tindakan pemandu MPV itu dilihat hanya mementingkan diri sendiri apabila cara pemanduannya membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Menurut Ahmad Marzuk, dia memohon maaf di atas isu yang timbul dan semoga kejadian itu memberi peluang untuk mereka terus menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia.
Tambahnya, setiap orang tidak lari dari kesalahan dan perlu ada insan lain yang menegur kesalahan tersebut. Setiap teguran adalah penambahbaikan, terutama kepada seorang pemimpin. – K! ONLINE