JENAMA telefon pintar dari China kini dilihat semakin menguasai pasaran global dengan penawaran spesifikasi canggih pada harga yang lebih mesra poket sekiranya dibandingkan dengan pengeluar lain.
Di Malaysia, pelancaran model Xiaomi 11T dan 11T Pro pada minggu lalu mendapat respons menggalakkan daripada pengguna di media sosial.
Bagi varian 11T Pro yang menawarkan cip pemprosesan Snapdragon 888, kamera dengan sensor 108 megapiksel dan paparan Dolby Vision dengan kadar segar semula 120 hertz pada harga bermula hanya RM2,099.
Tidak hairanlah Xiaomi Corporation mampu mencapai jualan keseluruhan berjumlah 87.8 bilion yuan (RM56.7 bilion) untuk tempoh suku kedua 2021, pertumbuhan 64 peratus tahun ke tahun.
Namun dalam peningkatan populariti jenama telefon China, terdapat kebimbangan dalam soal keselamatan siber.
Laporan Pusat Keselamatan Siber Lithuania menasihati 2.7 juta rakyatnya supaya membuang telefon pintar dari China atau mengelak daripada membeli telefon pintar dari negara itu mendapat liputan meluas pelbagai outlet media utama di seluruh dunia.
Berdasarkan laporan berkenaan, kerajaan Lithuania telah menguji telefon pintar daripada jenama besar seperti Xiaomi, OnePlus dan Huawei.
Ketika telefon pintar OnePlus dilihat tidak bermasalah dari segi sekuriti, telefon Huawei pula dikatakan memiliki isu tentang kehadiran aplikasi berbahaya yang mudah dimuat turun pada platform yang digunakan.
Persoalan lebih besar ialah berhubung telefon Xiaomi, yang didakwa memiliki kebolehan untuk menyaring terma yang ditaip padanya, seperti ‘free Tibet’, ‘democracy movement’ dan ‘long live Taiwan independence’.
Keupayaan tersebut yang dikesan dalam perisian pada model Xiaomi Mi 10T dikatakan telah dimatikan untuk model dijual di Kesatuan Eropah, namun ia dapat dihidupkan dari jarak jauh pada bila-bila masa.
Xiaomi telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan itu.
Bagi pengguna di negara ini, mungkin tidak wajar bagi kita menyahut seruan kerajaan Lithuania untuk membuang telefon pintar yang telah dibeli menggunakan wang hasil titik peluh dalam suasana ekonomi mencabar ini.
Cuma bagi mereka yang menitikberatkan soal privasi, laporan tersebut pastinya menggusarkan.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab, dengan kemajuan teknologi masa kini, tidak mustahil kebolehan menganalisis sebarang teks dan ciri pengintipan wujud dalam mana-mana komputer atau telefon pintar.
Namun Penyelidik Keselamatan Komputer itu berkata, persoalannya ialah sama ada ciri tersebut benar-benar dimasukkan pada telefon pintar seperti mana yang didakwa.
“Jika diperhatikan, setakat ini belum ada pihak lain kecuali Lithuania yang membuat dakwaan sama dan kita tahu hubungan politik antara negara berkenaan dengan China memang sedia tegang sebelum laporan ini diterbitkan lagi.
“Selain melibatkan politik, bagi saya tiada masalah untuk pengguna biasa memakai apa jua jenama sekalipun. Pada masa sama, isu kebocoran data dan maklumat privasi sentiasa wujud bagi pengguna telefon pintar.
“Namun apabila ada dakwaan sebegini, adalah wajar untuk pihak berkuasa membuat siasatan lanjut untuk memberi penjelasan kepada rakyat,” tegasnya. -K! ONLINE