fbpx

Jerangkap penyakit jantung dalam pandemik Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / RASUL AZLI SAMAD

HARI ini, tanggal 29 September ialah sambutan tahunan Hari Jantung Sedunia. Biarpun manusia sejagat kini sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang menghimpit kehidupan sehingga merobah banyak norma manusiawi, jangan kita lupakan ancaman penyakit jantung yang sejak 20 tahun lalu merupakan pembunuh No.1 dunia.

Dilaporkan, setiap tahun lebih 18.6 juta manusia di seluruh global mati kerana penyakit jantung atau kardiovaskular (CVD). Untuk makluman, semasa artikel ini ditulis, Worldometer Covid-19 menunjukkan kematian terkumpul sebanyak 4.76 juta di seluruh dunia.

Bahkan ketika wabak koronavirus mengganas tahun lalu merentas atlas, penyakit jantung ini masih dikatakan sebagai pembunuh masyarakat dunia di tangga paling atas.

Pertubuhan Jantung Amerika (American Heart Association) melaporkan pada tahun lalu bahawa penyakit jantung masih memimpin carta faktor kematian global di sebalik penularan pandemik.

Tidak dapat dipastikan mengenai kesahihannya memandangkan data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut meletakkan penyakit jantung di tempat pertama, cuma tanpa menyenaraikan Covid-19 kerana data terbaharu itu berdasarkan perangkaan tahun 2019.

Tapi baru-baru ini, beberapa negara mula menunjukkan bayangan kedudukannya. Pertengahan tahun ini, negara yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi, Amerika Syarikat menerusi data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu melaporkan, penyakit jantung pembunuh utama negara itu diikuti kanser dan Covid-19 di tangga ketiga.

Data itu menyatakan sebanyak 690,000 rakyat AS mati kerana penyakit jantung diikuti 598,000 (kanser) dan 378,000 kerana Covid-19 tahun lalu.

Julai lalu, statistik di Filipina pula melaporkan punca kematian terbesar di Filipina bagi tahun lalu ialah penyakit jantung yang meragut 105,114 nyawa, manakala Covid-19 berada dalam senarai 10 teratas dengan 30,140 kematian.

Tambah membimbangkan, pakar kesihatan memberi amaran, pandemik Covid-19 diramal boleh secara langsung dan tidak langsung memperkukuh lagi kedudukan penyakit jantung sebagai pembunuh utama dunia pada masa ini serta tahun-tahun mendatang.

“Kajian menunjukkan koronavirus boleh menyebabkan kerosakan pada jantung penghidapnya. Penting juga untuk kita sedar bahawa disebabkan pandemik ini, manusia cenderung melengahkan atau lewat mendapatkan rawatan masalah jantung yang akhirnya membawa kepada natijah buruk,” kata profesor kardiologi daripada Kolej Perubatan Baylor, Houston, AS, Dr. Salim Virani.

Lebih membimbangkan apabila duduk di rumah menjadikan manusia mengamalkan gaya hidup tidak sihat yang boleh membawa kepada risiko penyakit jantung.

“Tabiat makan makanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, tekanan mental kerana kuarantin bahkan ketakutan dijangkiti virus boleh memberi risiko kesihatan kardiovaskular,” tambah Salim.

Apapun, artikel ini bukanlah perdebatan penyakit ‘apa’ pembunuh utama, tetapi sebagai peringatan ketika kita mengawas diri daripada musuh yang satu itu, jangan sampai kita tertewas dengan musuh satu lagi yang sebenarnya juga peragut nyawa amat berbahaya dan ganas. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI