LONDON – Satu kaji selidik baharu mendapati bahawa individu kurang memikirkan mengenai masa depan dan orang lain di sekeliling mereka ketika menjalani perintah berkurung Covid-19 , lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Kaji selidik yang dilakukan kumpulan penyelidik dari Britain itu melihat bagaimana perintah berkurung memberi kesan kepada emosi dan pemikiran manusia.
Dalam tempoh seminggu, kumpulan penyelidik tersebut bertanya kepada responden pada waktu dan secara rawak sepanjang hari mengenai perkara yang difikirkan oleh mereka.
Apabila dibandingkan jawapan dengan set data serupa yang pernah dikumpul sebelum pandemik, penyelidik mendapati bahawa orang ramai kurang memikirkan mengenai masa depan dan individu lain.
“Kebiasaannya, orang ramai menghabiskan masa mereka dengan berfikir mengenai individu lain dan membuat perancangan untuk masa depan mereka.
“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa corak pemikiran ini terganggu ketika perintah berkurung.
“Pemikiran mengenai masa depan berkurang sepanjang tempoh tersebut ,” kata penulis utama kajian tersebut, Bronte McKeown.
Tambah McKeown, beberapa kajian terdahulu telah mengenal pasti impak negatif kesihatan mental ketika pandemik.
Bagaimanapun , berdasarkan kajian terbaharu itu, impak tersebut dapat dijelaskan dengan perubahan dalam corak pemikiran yang disebabkan oleh perintah isolasi.
“Ramai orang yang keseorangan ketika perintah berkurung. Apabila mereka bersendirian, mereka cenderung untuk kurang memikirkan mengenai orang lain berbanding pada waktu sebelum perintah berkurung,” jelas McKeown.
Kajian tersebut disifatkan oleh penyelidik sebagai satu peringatan mengenai peranan penting yang dimainkan oleh kehidupan sosial dan bekerja dalam mempengaruhi corak pemikiran dan kesihatan mental seseorang. – AGENSI