PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap Lawatan Khas ke United Kingdom (UK) yang telah berakhir pada hari Ahad lalu.
Lawatan Khas ini merupakan yang kedua bagi Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas pertama kali diadakan pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia bagi mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat, walau di mana mereka berada.
Katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi Kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan dan beroperasi di negara UK.
“Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar membabitkan usaha sama antara Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Sime Darby Property dan SP Setia Berhad sejak 2012.
“Manakala, TARRC adalah pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia yang ditubuhkan pada 1938 dengan nama asal Persatuan Penyelidikan Pengeluar Getah Britain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Seri Paduka Baginda dijadualkan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan UK, Sir General Nicholas Carter esok yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menerima kunjungan Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, di London.
“Pada pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda dan Yang Mulia Sheikh Mohammed telah menyentuh hubungan dua hala dan peningkatan kerjasama dalam beberapa bidang yang lain yang berkaitan di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu,” ujarnya.
Pada Mac lalu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Masdar untuk meneruskan kerjasama merentasi rantaian nilai tenaga. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929