fbpx

Ambil masa empat tahun hantar 4,000 nota terima kasih kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
James (kiri) bersama seorang anggota polis NYPD yang menerima kad ucapannya. - Coretta James

BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang wanita meluangkan  masa selama empat tahun untuk menghantar nota ucapan terima kasih kepada anggota polis di Jabatan Polis New York (NYPD), lapor akhbar New York Post kelmarin.

Coretta James, 49, berkata,  dia  dalam misi untuk menulis dan memberikan nota tersebut kepada semua anggota polis di New York.

“Saya amat menghormati pasukan unit beruniform seperti tentera, anggota bomba dan polis.

“Mereka jarang mendapat ucapan terima kasih dan memerlukan galakan,” katanya yang menambah, ramai anggota unit beruniform yang kurang bersemangat dan bersara awal. 

James berkata, idea untuk menulis nota itu timbul selepas dia menjadi sukarelawan dengan Jabatan Bomba New York (FDNY) untuk menghantar kad ucapan terima kasih kepada anggotanya yang ditugaskan di Iraq dan Afghanistan.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk memberikan kad ucapan terima kasih kepada NYPD.

Sehingga kini, James telah menulis lebih 4,000 kad ucapan dan diberikan kepada anggota dan pegawai polis.

“Terdapat 36,000 anggota polis dan masih banyak kad yang perlu saya tulis,” kata James.

James yang merupakan seorang pengasuh, menulis kad-kad tersebut pada waktu malam dan pada hujung minggu. Dia juga turut menyediakan kad berbeza untuk setiap jawatan.

“Terima kasih di atas perkhidmatan anda di NYPD. Setiap kali anda menyarung pakaian seragam, anda meletakkan diri anda dalam risiko. Kami amat berterima kasih atas perkhidmatan anda,” demikian ucapan yang ditulis James pada kad yang diedarkannya.

Menurut bekas Ketua Transit NYPD, Joe Fox yang kini bersahabat baik dengan James, kad yang ditulis wanita itu merupakan satu ekpresi kebaikan yang bersifat peribadi antara seorang individu kepada individu lain.

Bagi James, dia sedar bahawa tindakannya itu mungkin dipandang serong oleh segelintir pihak.

“Saya bersedia untuk untuk dikecam namun ini bukan untuk saya, ia adalah untuk anggota  polis dan saya hanya mahu mereka rasa dihargai,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI