PETALING JAYA – Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025 menampakkan suatu usaha kerajaan secara inklusif.
Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, RMK-12 wajar dipuji kerana mengambil kira semua keadaan seperti kehendak norma baharu ekonomi masa hadapan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pasca Covid-19.
“Ini adalah bagus untuk keampanan pertumbuhan sosio ekonomi negara terutamanya pemulihan drastik ekonomi negara.
“Sememangnya Keluarga Malaysia menantikan usaha sebegini bagi meredakan tekanan yang dialami sepanjang negara dilanda pandemik wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, fokus kerajaan dalam menerima guna teknologi baharu dengan usaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri adalah langkah yang tepat.
“Ini juga merupakan satu kemandirian yang membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi negara luar jika kita cipta dan hasilkannya sendiri dan menjana pendapatan sendiri.
“Selain melonjakkan negara berpendapatan tinggi ianya dapat merapatkan jurang pengangguran melalui inisiatif 4IR, MyDigital dan transformasi PMKS dan fokus-fokus lain,” ujarnya.
Katanya, beliau berharap agar kerajaan benar-benar dapat mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus disamping menjadi sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929