SEREMBAN – Seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Port Dickson direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1,568 bagi beberapa program, dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.
Syed Farid membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 3 Oktober depan.
Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim manakala suspek diwakili peguam, T.Sailaja.
Menurut sumber, suspek pada November 2019 telah memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara, Majlis Perpisahan dan Majlis Hari Jadi di Prasekolah tempatnya bertugas yang dipercayai tidak dilaksanakan.
Semalam Kosmo! melaporkan suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira pukul 1.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929