PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) komited untuk menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021–2025.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MOF menyokong penuh objektif RMK-12 bagi mengembalikan pertumbuhan ekonomi ke landasan yang mampan, memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.
Katanya, selaras dengan tema RMK-12 iaitu Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan, MOF akan menyelaraskan bidang-bidang keutamaan Bajet 2022 dengan fokus utama RMK-12.
“Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan atau 3R iaitu Recovery, Resilience, Reform.
“Peruntukan perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure/DE) untuk RMK-12 dianggarkan berjumlah RM400 bilion. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding RM248.5 bilion bagi RMK-11,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, peruntukan DE bagi Bajet 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosio-ekonomi dan agenda pembangunan negara.
Katanya, MOF juga akan memangkin pembaharuan selaras dengan dasar dan strategi yang diutarakan dalam RMKe-12.
“Sehubungan itu, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Fokus RMK-12 kepada pembangunan lestari juga akan disambut dalam Bajet 2022 ke arah mencapai net zero carbon emissions, contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV),” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929