SABAK BERNAM – Anggota bomba terpaksa mengambil masa lebih tiga jam bagi membawa keluar seorang lelaki yang maut tersepit apabila kenderaan dinaikinya terpelosok di bawah sebuah treler membawa muatan kelapa sawit dalam kejadian di Jalan Panchang Bedena di sini hari ini.
Mangsa dikenali Chia Yie Jie, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5 pagi dan tiba tiga minit kemudian.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Vios telah melanggar sebuah lori treler muatan sawit dipercayai keluar dari timbang sawit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pukul kira-kira pukul 8.20 pagi tadi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Sungai Besar gagal mengelak sebuah treler yang telah membelok keluar simpang menghala ke Sungai Besar.
“Jarak yang dekat menyebabkan mangsa gagal membrek kenderaannya sebelum melanggar di bahagian sisi kanan treler tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929