PETALING JAYA – “Saya ajak dia masuk Islam, saya tak pernah paksa.”
Demikian kata pempengaruh media sosial, Aisar Khaled yang berjaya mengislamkan seorang lelaki berbangsa India baru-baru ini.
Aisar atau nama lengkapnya, Aisar Khaled Kamel, 21, memaklumkan, lelaki berkenaan mengadu hidupnya sering dihurung masalah sebelum memeluk Islam.
“Saya terjumpa seorang brother (lelaki) India, dia sangat sedih dengan kehidupannya selalu dirundung banyak masalah.
“Saya bercerita tentang kebesaran Allah dan apa sebenarnya yang kita kena buat dalam dunia ini. Masya-Allah, Allah menjentik hatinya untuk menerima agama Islam. Sungguh nikmat kebesaran Allah SWT,” katanya menerusi satu entri dalam Instagram.
Dalam perkongsian sama, pelakon drama bersiri Chandelier itu mengajak orang Islam terus berdakwah menyebarkan syiar Islam kerana fadhilat pahalanya sangat besar.
“Sesungguhnya, pahala mengislamkan seorang sama dengan pahala 100 orang mati syahid. Dakwahlah jiran kita, kawan kita dan semua orang bercerita tentang kebesaran Allah SWT. Lailahailllah,” ujarnya.
Walaupun berkongsi perkara positif, Aisar juga menerima kecaman apabila dalam dakwahnya sebelum mengislamkan lelaki tersebut, dia sepertinya memberi taakulan berkenaan syurga dan neraka.
“Kalau nak ajak seseorang itu memeluk Islam, jangan sampai nak main neraka syurga sebab kita pun belum tentu masuk syurga. Niat dah betul nak ajak orang masuk Islam tapi cara salah,” tulis seorang netizen dalam ruangan komen.
Menerusi satu entri dalam Instastory, Aisar yang berketinggian 190 sentimeter itu mendedahkan, pendakwah bebas, Ebit Lew merupakan individu yang membawanya mendekatkan diri ke jalan agama.
“Terima kasih guruku (Ebit Lew) mengajarku kemanisan iman dan berdakwah di jalan Allah SWT,” katanya.
Aisar sebelum ini pernah memercik kontroversi apabila memuat naik video melawat kubur penyanyi Allahyarham Siti Sarah semata-mata untuk kandungan media sosialnya. – K! ONLINE