PARIS – Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino percaya skuad kendaliannya sudah bersedia sepenuhnya menjelang aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Parc des Princes awal pagi esok.
Beliau melaungkan keyakinan itu selepas menyaksikan skuad kendaliannya menampilkan aksi cukup baik ketika menang 2-0 ke atas Montpellier dalam saingan Ligue 1 kelmarin.
Justeru, Pochettino berharap PSG mampu melakar kemenangan pertama ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas tewas dua kali di pusingan kalah mati pada 2016 dan musim lalu.
“Saya tidak pasti sama ada kami bermain baik ataupun tidak ketika menentang Montpellier tetapi saya gembira dengan tiga mata yang diperoleh kerana ia memberi suntikan semangat kepada pasukan.
“Lapan kemenangan dalam lapan perlawanan sudah pasti beri kelebihan kepada kami menjelang aksi bertemu City. Liga Juara-Juara penting kepada PSG dan kami akan bertemu satu pasukan yang sangat kuat,” kata pengendali dari Argentina itu.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu juga percaya mereka sudah memperkasakan pasukan di segenap posisi selepas membawa masuk ramai pemain termasuk Lionel Messi dan Sergio Ramos pada jendela perpindahan musim panas lalu.
“Saya gembira kerana kami sudah membawa masuk beberapa pemain sebelum ini bagi memperkuatkan pasukan. Mungkin kami perlukan masa untuk cipta keserasian tetapi saya yakin ia akan membuahkan hasil,” ujar beliau. – AGENSI