PASANGAN selebriti popular Korea Selatan, Taeyang dan Min Hyo-rin bakal menimang anak sulung mereka tidak lama lagi.
Berita tersebut disahkan oleh agensi Hyo-rin, PLUM A&C dalam satu kenyataan selepas khabar angin tentang kehamilan aktres itu tersebar semalam.
“Benar, Min Hyo-rin kini sedang hamil. Mereka cukup gembira menanti kehadiran anak itu,” kata agensi aktres itu.
Dalam pada itu, agensinya juga menyebut aktres yang popular dengan drama Romance Town itu mahu menikmati fasa kehamilannya dengan tenang dan jauh daripada tumpuan media.
Justeru, agak sukar untuk pihak agensi mendedahkan informasi terperinci tentang kehamilan sulung pasangan popular itu.
Oleh yang demikian, butiran terperinci seperti usia kandungan dan tarikh bersalin juga tidak diketahui.
Sungguhpun begitu, berita kehamilan aktres itu disambut gembira oleh peminat yang rata-rata memberi ucapan tahniah kepada mereka berdua.
Taeyang yang merupakan anggota kumpulan Big Bang mula bercinta dengan Hyo-rin pada 2014 selepas bertemu di set penggambaran video muzik single solo Teayang yang berjudul 1AM.
Pasangan tersebut mendedahkan hubungan mereka kepada umum pada 2015 dan mereka berkahwin pada 3 Februari 2018 dalam sebuah majlis tertutup di sebuah gereja. – K! ONLINE