ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan sebagai pasukan pilihan Kumpulan C Piala Malaysia apabila mudah menewaskan pasukan daripada Liga Premier, Kelantan United FC 3-0 di Stadium Darul Aman di sini sebentar tadi.
Seawal minit ke-12, pasukan tuan rumah membuka jaringan setelah penjaga gol pelawat, Mohammad Fikri Che Soh tersilap jangkaan ketika hendak mengeluarkan hantaran jauh kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar.
Sepakannya yang tidak mengena menyebabkan bola disambar pemain sayap berpengalaman KDA FC, Syazwan Zainon yang mudah merembat leret ke gawang tidak dikawal untuk gol pertama perlawanan.
Gol kedua KDA FC bagaimanapun berjaya dijelmakan pada minit ke-45 apabila pemain pertahanan mereka, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali bijak melakukan hantaran kepada Kipre yang berada berdekatan pintu gol lawan untuk pemain dari Ivory Coast itu mudah melakukan jaringan.
Syazwan Zainon berjaya menggegarkan jaring lawan untuk gol ketiga tuan rumah setelah dia menyempurnakan umpanan dari Kipre, dua minit kemudian.- K! ONLINE