GEORGE TOWN – Pasar Pulau Tikus dan tapak penjaja sementara (TPS) di hadapan pasar itu di sini diarahkan tutup sementara mulai hari ini ekoran terdapat kes positif Covid-19 dikesan melibatkan peniaga dan pembantu gerai.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dan seterusnya mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Arahan penutupan ini melibatkan 113 gerai peniaga di Pasar Pulau Tikus yang berniaga dari pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari.
“Turut terlibat dengan penutupan ini ialah 34 gerai TPS yang beroperasi dari 4 petang hingga 11 malam,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut memaklumkan, MBPP meminta para peniaga mematuhi arahan penutupan berkenaan dan sesiapa yang melanggar arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan seperti pembatalan lesen dan penutupan premis.
Sementara itu, MBPP turut memaklumkan TPS Lebuh Cecil dan Kompleks Makanan dan Penjaja Statik Sementara Chowrasta di sini yang ditutup pada 13 September lalu berikutan penularan virus itu dibuka semula hari ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – K! ONLINE.